Sastera

Syair

Definisi 

Syair ialah jenis puisi melayu lama yang berangkap dan setiap rangkapnya mengandung 4 baris ayat yang kesemuanya membawa makna isi dan maksud.  Keempat-empat baris itu  pula berirama sama.
Syair sering membawa makna isi yang berhubung dengan kias ibarat. Sindiran , nasihat, pengajaran, agama dan juga berasakan sejarah atau dongeng.

Ciri-Ciri Syair :

Merupakan puisi terikat.

Rangkap : jumlah baris serangkap tetap iaitu 4 baris. Setiap baris dalam rangkap merupakan idea atau maksud atau isi cerita syair itu.  Ini bermakna syair tidak mempunyai pembayang seperti pantun.  Cerita dalam setiap baris dalam serangkap itu perlu bersambungan dari satu rangkap ke satu rangkap untuk membawa kesatuan yang lengkap bagi keseluruhan syair tersebut

Perkataan :  bilangan perkataan sebaris tetap iaitu 4-5 perkataan sebaris

Sukukata :  Bilangan sukukata sebaris juga tetap iaitu antara 8-12 sukukata dalam sebaris

Rima:  Rima  akhir dalam serangkap juga tetap iaitu a/a/a/a

Contoh Syair

Tema : Sayangi Ibu

Ibumu sakit berbagai-bagai,
Lahirkan engkau,bidan pun capai,
Dibagi mandi terkuai kapai,
Diambil bedung dibagi pakai.

Perit letih tak pernah sudah,
Besarkan kamu amatlah payah,
Jangan lupa penat dan lelah,
Ibu mengasuh tak pernah sudah.

Jasa ibu harus dikenang,
Bukan ringgit yang nak dicanang,
Tapi kasih anak dipandang,
Tanda pengorbanan ibu menatang.

Bila pangkat sudah di tangan,
Bila berada di puncak awan,
Ibu dulu pernah berangan,
Anak dididik tak lupa daratan.

Bonda mengasuh tak pernah jemu,
Erti penat tak pernah bertamu,
Jangan derhaka pada bonda mu,
Kelak menyesal di pusara ibu.

____________________________________________________________________________
Pantun

Definisi Pantun :

Pantun merupakan sebuah satera rakyat yang boleh digunakan dengan seluas-luasnya di dalam masyarakat melayu yang tidak kira apa tujuannya.pantun dilahirkan untuk mewujudkan sesuatu maksud tertentu,ia bertujuan memperintahkan lagi sesuatu ucapan.Dalam konteks ini,pantun sangat sesuai dengan jiwa orang melayu kerana dapat menunjukkan keperibadian orang melayu yang mempunyai kesenian serta kebudayaan sendiri.                                      

Pantun juga merupakan salah satu jenis puisi lama yang sangat luas dikenali dalam bahasa-bahasa nusantara.orang melayu telah mencipta pantun dalam bentuk berangkap.selain itu,pantun juga bertujuan untuk membicarakan tentang budi bahasa,kasih sayang masyarakat,adat istiadat,perkhawinan dan sebagainya.

Dalam bahasa Jawa pula,pantun dikenali sebagai parikan dan dalam bahasa Sunda dikenali sebagai paparikan.Lazimnya pantun terdiri empat baris dan berakhir dengan pola a-b,a-b.Pada zaman dahulu pantun merupakan sastera lisan,namun sekarang dijumpai dalam bentuk bertulis.

Contoh Pantun :

Pak Salleh memasang bubu,
Ketika petang cuaca redup,
Kalau tuan ingin tahu,
Ilmu itu penyuluh hidup.

Makan sireh duduk bersila,
Sambil duduk bergurau senda,
Sekiranya ilmu penuh didada,
Hidup tidak gelap gelita.

Mak Munah pergi ke perigi,
Pergi bersama anaknya Siti,
Tuntutlah ilmu setiap hari,
Untuk kesenangan diri sendiri.

Cik Ani menanam bunga,
Bunga ditanam di tepi halaman,
Ilmu itu besar nilainya,
Harta dunia bukan tandingan.

Pak Abu menebar jala,
Jala ditebar di sungai Linggi,
Walau ilmu penuh didada,
Jangan suka menyombong diri.

Adik bermain jauh di sana,
Tangan berikat dengan tali,
Buat baik secara sederhana,
Buat jahat jangan sekali.

Tanam tebu di tepi pagar,
Daunnya kena orang lalu,
Nasihat guru hendak didengar,
Barulah kita selamat selalu

____________________________________________________________________________
Kisah Teladan


Kisah Si Tanggang

Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal.
Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.
Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.
Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.
Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.
Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.
“ Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok” kata Si Talang.
“ Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, “ kata Deruma dengan gembira.
Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si Tanggang, iaitu pisang salai.
Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya.

“ Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya Si Tanggang kepada anak kapalnya.
“ Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,” jawab anak kapal itu.
“ Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ?” tanya isteri Si Tanggang.
Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu bapanya. Kesusahan dan kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma kelihatan begitu uzur dan daif sekali.
“ Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan ibu bapa kanda. Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal !” herdik Si Tanggang. Mukanya merah padam kerana malu dan marah.
“ Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai kegemaranmu, nak “ kata Si Deruma.
“ Pergi! “ tengking Si Tanggang. Dia memukul jari ibunya yang bergayut pada bahagian tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya, dibuang ke laut.
Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka anak kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun berdayung ke tepi.
Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dia berseru “ Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya.”
Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka.
“ Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!' teriak Si Tanggang.
Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang menjadi batu. Semua anak kapal juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan isterinya turut menjadi batu.

No comments:

Post a Comment